
“Setting The Table dengan sentuhan klasik minimal bersama Petallica”
Apabila tradisi bertemu estetika, riangnya Hari Raya diterjemahkan melalui seni. Petallica hadir bersama kami untuk menghidupkan meja dalam koleksi Selaras yang membawa tema "The Joy of Hosting" .
Sebuah perayaan kecil di setiap sudut meja yang membawa cerita.
Dalam Selaras, kami ingin membawa yang lama dan yang baru ke ruang anda. Melalui susunan meja yang tidak sekadar cantik, tetapi punya nyawa dan hidangan kuih-muih tradisional. Menciptakan momen yang bukan hanya untuk dinikmati, tapi diingat selamanya.
Meja ini bukan sekadar tempat makan. Ia adalah ruang nostalgia dan ruang cinta.
Setiap elemen yang direka oleh Petallica adalah cara kami berbicara tanpa kata-kata – tentang ikhlasnya menerima, eratnya hubungan, dan indahnya tradisi.
Hari Raya ini, jadilah tuan rumah yang mencipta bukan sekadar hidangan, tetapi kenangan. Satu meja, satu cerita, dan cerita itu milik anda.
Ceritakan tentang background anda.
Saya Syakira Ghani. Petallica ini seperti perjalanan panjang yang akhirnya menemukan jalannya sendiri. Awalnya, saya tumbuh dalam keluarga yang dekat dengan dunia sains dan kejuruteraan. Saya sendiri sempat mendalami itu—menghabiskan waktu bertahun-tahun untuk meraih gelar Master’s Degree di bidang Civil & Structural Engineering di University of Leeds. Saya belajar tentang bangunan, tapi akhirnya malah jatuh cinta kepada sesuatu yang lembut dan rapuh : bunga. Tapi, kalau difikir-fikir, seni dan teknik itu tidak jauh beza. Kedua-duanya tentang struktur, keseimbangan, dan harmoni. Saya hanya menemukan cara lain untuk menghidupkan sesuatu—bukan dari konkrit dan besi, tapi dari kelopak dan daun.
Siapa yang memberi pendedahan kepada Syak tentang seni gubahan bunga?
Dari kecil, saya selalu percaya bahawa keindahan itu ada di sekitar kita, asalkan kita punya mata untuk menilainya. Ibu saya adalah orang pertama yang mengajarkan itu kepada saya. Dia mencintai flora dan fauna dengan cara begitu alami. Di mana pun ia berada, akan selalu ada sentuhan kecil yang ditinggalkan—seikat bunga di meja makan, pot kecil di sudut jendela, atau daun-daun yang dirangkai tanpa rencana. Saya membesar melihatnya, dan tanpa sedar saya ikut belajar. Dari situ saya faham, bahawa bunga bukan sekadar sesuatu yang untuk dipandang. Ia boleh mengucapkan sesuatu tanpa perlu suara.
Cerita serba sedikit tentang Petallica.
Petallica adalah tempat di mana cerita bertemu dengan warna. Saya dan Hafiz Khairi mencipta Petallica pada tahun 2024. Mungkin dengan sedikit keberanian, mungkin juga dengan sedikit kegilaan. Ada banyak florist di luar sana, tapi yang ingin kami hadirkan bukan hanya sekadar rangkaian bunga. Kami ingin membuat sesuatu supaya terasa lebih dekat—lebih personal. Anda ada warna favourite? Atau ada kenangan yang ingin disampaikan melalui bunga? Kami ada untuk terjemahkannya. Ia lebih dari sekadar dekorasi, bunga adalah perasaan yang boleh disentuh. Terkadang Petallica mengadakan pop-up, bertemu dengan pelanggan, berbincang, bertukar cerita dan berbagi cerita sambil jari-jari kami sibuk mengatur kelopak.
Pendapat tentang kolaborasi bersama MO?
Kolaborasi ini adalah tentang bagaimana dua dunia bertemu di tengah. The Joy of Hosting ini menarik, kerana sering kali kita terlalu sibuk memikirkan hal-hal besar—baju baru, dekorasi megah—tapi lupa pada hal-hal kecil yang justeru menciptakan kenangan. Apa yang tersaji di meja? Apa yang membuat tetamu berasa nyaman? Saya suka bagaimana projek ini memikirkan hal-hal itu. Koleksi Selaras ini bukan sekadar pakaian Hari Raya, tapi sebuah pengalaman. Sebuah cerita yang boleh dinikmati bukan hanya dengan mata, tapi juga dengan hati. Semoga, ini bukan akhir tetapi sebuah permulaan untuk banyak lagi perjalanan yang indah selepas ini.
Apakah antara item yang perlu ada untuk menaikkan seri hiasan meja ketika musim perayaan??
1. Hadirkan sesuatu yang hidup. Setangkai bunga segar atau bahkan daun yang hijau pekat. Putih, merah jambu, sedikit rona kuning / jingga—warna-warna yang boleh buat meja berbicara.
2. Bentangkan alas meja. Pilih yang bertekstur, embroidery yang berbisik halus atau batik yang mengalun dalam warna serta motif anyaman yang menyimpan cerita lama. Jangan yang biasa. Pilih yang sekali lihat, hatimu terasa ingin duduk lebih lama.
3. Peralatan makan juga ada kenangannya. Jangan guna yang dipakai tiap hari, biarkan hari itu menjadi istimewa. Gunakan silverware yang berkilau seperti ingatan manis atau mengikut konsep yang sesuai. Mix & match juga ok!
4. Biarkan wangi mengalun dalam udara. Sebuah diffuser di sudut meja, lilin yang menyala redup tapi aromanya menyentuh deria.